GEORGE TOWN – “Harap keputusan saya menerima vaksin ini menjadi pemangkin semangat buat Orang Kelainan Upaya (OKU) yang lain tanpa sebarang ragu-ragu,”.
Itu reaksi pasangan cacat penglihatan, Lim Kooi Yong, 48, dan suami, Tang Eng Keng, 57, sebaik menerima suntikan vaksin yang dijalankan buat warga institusi golongan cacat penglihatan St Nicholas’ Home, Jalan Bagan Jermal di sini hari ini.
Kooi Yong berkata, dia tidak sangka akan menerima vaksin pada hari yang sama dengan suaminya.
“Kebaikan ini adalah untuk kita bersama dan walaupun tidak dapat melihat, tetapi keazaman kami kuat bagi membantu negara dalam mengekang pandemik Covid-19.
“Saya menyeru kepada OKU lain supaya tidak ragu-ragu bagi mengambil suntikan. Tak perlu risau, suntikan ini tak sakit sangat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kooi Yong antara 96 OKU masalah penglihatan dan kakitangan institusi yang menerima suntikan vaksin dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Daerah Timur Laut.
Turut hadir Penolong Pengurus Besar St Nicholas’ Home Carmen Chew.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Timur Laut, Dr Azizah Ab Manan berkata, sehingga kini sudah lima institusi mewakili OKU sudah mendaftar bagi program vaksin yang dijalankan secara mobile.
“Kita juga merancang kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi memberi suntikan secara mobile iaitu turun ke lapangan bagi kes tertentu seperti tiada kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin atau kepada golongan gelandangan.
“Kita ada kekangan bagi memberi suntikan vaksin kepada golongan gelandangan kerana mereka lebih gemar menyendiri dan mengelak daripada bertemu dengan pihak berwajib.
“Kita merancang bagi program kepada golongan itu dan ia dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada Oktober depan,” katanya. – MalaysiaGazette