Dr. Adham baba

KUALA LUMPUR – Seramai 151,729 rakyat yang tergolong dalam kumpulan B40 menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, jumlah itu merupakan 33 peratus daripada 457,462 penerima Skim Bantuan Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang menjalani saringan kesihatan di bawah skim itu.

“Jumlah ini adalah melibatkan Kumpulan B40 yang sebelum ini tidak pernah mengetahui mereka menghidapi penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis (10.4%), kolesterol tinggi(29.8%), darah tinggi (13.8%), masalah mental seperti kemurungan (1.6%) dan keresahan (1.4%) selain daripada masalah obesiti dan sebagainya.

“Sebelum menjalani saringan kesihatan PeKa B40, mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan seumpanya, apatah lagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya pada sidang media secara maya pelancaran Laporan PEKA B40 bagi tahun 2019-2020, hari ini.

Skim PeKa B40 yang diuruskan Protect Health Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) iaitu anak syarikat tidak berasaskan keuntungan milik penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan empat manfaat iaitu Saringan Kesihatan, Bantuan Alat Perubatan sehingga RM20,000, Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser berjumlah RM1,000 dan Insentif Tambang Pengangkutan sehingga RM1,000.

Skim ini, kata Adham, memberi fokus kepada penyakit tidak berjangkit dan percuma kepada semua penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta pasangan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas.

Tambah Adham lagi, sebanyak RM62.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh 15 April 2019 sehingga 31 Disember tahun lalu untuk membiayai skim ini.

Ia bertujuan unutk membuat pengesanan awal terhadap penyakit tidak berjangkit rakyat bagi kumpulan B40.

“Daripada jumlah tersebut, RM38.5 juta dibelanjakan untuk manfaat saringan kesihatan yang meliputi pengambilan sejarah kesihatan, pemeriksaan fizikal, saringan kesihatan mental, pemeriksaan kanser payudara dan prostat, serta ujian air kencing dan darah. Saringan kesihatan PeKaB40 ini dilakukan di klinik swasta dan juga Klinik Kesihatan KKM seluruh negara,” jelas Adham lagi.

Daripada RM62.5 juta, sebanyak RM20.9 juta dibelanjakan bagi membiayai permohonan 10 jenis alat perubatan iaitu alat untuk jantung, alat sendi tiruan, alat bantuan pendengaran, perentak jantung, prostesis dan implan untuk tulang belakang, prostesis dan sebagainya bagi sektor manfaat bantuan alat perubatan.

Menerusi manfaat Insentif Melengkapkan Rawatan Kanser yang diwujudkan bagimenggalakkan penghidap kanser melengkapkan rawatan yang ditetapkan, sejumlah RM1.6 juta telah dibelanjakan manakala bagi manfaat Insentif Tambang Pengangkutan sebanyak RM1.5 juta telah dibelanjakan bagi tempoh sehingga 31 Disember tahun lalu. – MalaysiaGazette