Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto SYAFIQ AMBAK, 11 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang gelabah dan mencurigakan ketika melalui satu sekatan jalan raya rupa-rupanya membawa dadah di dalam beg silangnya.

Bukan itu sahaja malah suspek juga dikenakan kompaun selepas melakukan pergerakan tanpa surat merentas daerah atau negeri.

Kejadian berlaku di Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Subang semalam, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

“Semasa kejadian suspek sedang memandu kereta jenis Proton Persona sebelum ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan semasa sampai di SJR.

“Pemeriksaan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran rentas negeri atau daerah ketika diminta oleh anggota bertugas di lapangan.

“Pemeriksaan lanjut pada begnya polis berjaya menemui dadah syabu dengan anggaran 0.90 gram dan sebotol plastik dipercayai diubahsuai menjadi alat menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, suspek kemudian ditahan dan dilibatkan dalam ujian air kencing sebelum disahkan positif jenis methamphetamine dan disyaki terlibat hampir tujuh tahun dengan penagihan dadah.

“Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah dan direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Suspek juga dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawasan Pergerakan 2021.-MalaysiaGazette