Tan Sri Mohamed Apandi Ali Attorney-General termination Mahathir Mohamad government suit
Tan Sri Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menasihatkan dan mengemukakan cadangan ‘mediasi’ dalam kes tuntutan saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung pemecatan beliau sebagai Peguam Negara (AG) pada tahun 2018.

Mohamed Apandi sebelum ini mengemukakan saman ganti rugi RM2.2 juta terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri ketika itu dan Kerajaan Malaysia, dan memohon mahkamah mengisytiharkan pemecatan beliau sebagai AG oleh bekas perdana menteri itu adalah tidak sah.

Mahkamah Tinggi telah memberikan cadangan tersebut melalui surat bertarikh 10 Mei lalu dan peguam mewakili Apandi, Baljit Singh Sindhu mengesahkan perkara tersebut selepas pengurusan kes hari ini secara dalam talian.

Mahkamah melalui surat tersebut menasihati semua pihak merujuk perkara itu ke Pusat Mediasi Mahkamah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut Baljit, bagaimanapun mahkamah belum memberikan tarikh untuk proses mediasi itu manakala peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili defenden pula berkata pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Apandi telah bersetuju untuk mediasi tapi kami (Dr. Mahathir dan kerajaan) tidak bersetuju,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Pada 13 Oktober lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir dan kerajaan atas dakwaan penamatannya sebagai AG dibuat secara tidak sah semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

Mohamed Apandi memfailkan saman itu melalui firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners secara dalam talian di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Dr. Mahathir sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Saman itu difailkan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak memberikan maklum balas terhadap surat tuntutan Mohamed Apandi yang diserahkan pada 30 September lalu.

Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, sebelum dilantik sebagai AG pada 2015, antara lain memohon pengisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran kontrak antara beliau dan Kerajaan Malaysia.

Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa wujud kegagalan berhubung pematuhan terhadap Perkara 145, Perlembagaan Persekutuan, dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya sebagai AG adalah tidak mengikut undang-undang, oleh itu ia adalah tidak sah.

Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Penyataan tuntutan Mohamed Apandi menyebut bahawa melalui surat bertarikh 27 Mei 2015 daripada Ketua Setiausaha Negara, beliau dimaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan terhadap pelantikannya sebagai AG yang berkuat kuasa dari 27 Julai 2015 hingga 26 Julai 2018.

Bekas AG itu mendakwa, pada 6 April 2018, Ketua Setiausaha Negara memaklumkan beliau bahawa Yang di-Pertuan Agong pada 30 Mac 2018 telah memberi perkenan terhadap pelantikannya yang disambung selama tiga tahun lagi yang berkuat kuasa pada 27 Julai 2018 dan akan tamat pada 26 Julai 2021.

Mohamed Apandi juga mendakwa Dr Mahathir yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei 2018, kemudian mula mengeluarkan kenyataan yang mempertikai integriti profesional beliau.

“Antara lain, defendan pertama telah menyatakan bahawa beliau tidak lagi menganggap plaintif sebagai Peguam Negara bagi Persekutuan, meskipun plaintif dilantik sebagai Peguam Negara yang sah oleh Yang Di-Pertuan Agong.

“Plaintif akan merujuk semua kenyataan yang dikeluarkan defendan pertama yang telah dilaporkan di dalam media.

“Defendan pertama kemudian mengarahkan Ketua Setiausaha Negara defendan kedua untuk memaklumkan arahan defendan pertama kepada plaintif agar plaintif mengambil cuti tanpa rekod selama 30 hari dari 14 Mei 2018 sehingga 14 Jun 2018,” katanya.

Bekas AG itu mendakwa arahan Dr Mahathir itu adalah tidak sah dan mendakwa bahawa di bawah Perkara 145(5) Perlembagaan Persekutuan, pada semua masa yang material, beliau memegang jawatan itu atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast