Ketua Polis Pahang menunjukkan barang rampasan kes pengedaran dadah jenis heroin dalam kejadian di Rompin dalam sidang media di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pada mulanya polis telah menahan seorang lelaki  dan merampas 4,635 gram heroin di Jalan Kuantan-Seremban, Rompin pada Sabtu lalu.

Ekoran penahanan suspek lelaki India berusia 49 tahun itu membawa penahanan tiga individu lain termasuk Orang Asli dalam sindiket pengedaran dadah yang sama.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil siasatan sindiket yang bergiat aktif dalam tempoh tiga bulan ini memperoleh bekalan heroin dari Lembah Klang dan untuk diedarkan di kawasan Felda sekitar Rompin dan Bera.

“Tangkapan tiga lagi individu melibatkan seorang lagi lelaki India dan dua lelaki Orang Asli di Bandar Muadzam bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan awal mendapati kempat-empat  suspek yang ditahan positif dadah.

“Manakala hasil semakan rekod kesalahan lampau juga mendapati tiga orang suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang memaklumkan bekalan sindiket dadah tersebut mampu dibekalkan sehingga 9,270 penagih dadah.

“Nilai rampasan dadah berinilai RM51,500 dan nilai sitaan wang tunai serta kenderaan RM 25,400 menjadikan nilai keseluruhan rampasan ialah RM 76,900, ” kata Ramli.

ARTIKEL BERKAITAN :

Dadah bernilai RM20 juta dalam kereta ditunda

Bahaya dadah: Lebih baik cegah

Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh huari bermula 4 hingga 10 Julai dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam pada itu, Ramli turut berkongsi statistik pencapaian anggotanya memberkas menanngani isu dadah di Pahang bagi tempoh 2021 bermula Januari sehingga awal Julai.

Sehingga kini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Pahang telah membuat tangkapan seramai 5,311 orang melibatkan  4,659 kes dengan nilai rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.4 juta. – MalaysiaGazette