Singa milik seorang warga China yang dirampas oleh pihak berkuasa Kemboja bulan lalu. foto Agensi

PHOM PENH – Singa yang peliharaan yang dirampas oleh pihak berkuasa Kemboja bulan lalu telah dikembalikan kepada pemiliknya setelah campur tangan secara mengejut oleh perdana menteri.

Singa jantan berusia 18 bulan itu diseludup secara haram ke negara ini oleh seorang warganegara China, kata para pegawai.

Mereka melancarkan siasatan pada bulan April setelah melihat video TikTok mengenai singa itu di sebuah vila di ibu kota, Phnom Penh.

Singa seberat 70 kilogram (kg) itu disita pada 27 Jun dan dipindahkan ke pusat haiwan.

Sejak itu, pemilik singat tersebut yang bernama Zhai Xinjiang telah mengemukakan rayuan untuk mendapatkan semula singa itu melalui media sosial dan dalam temubual di media.

Pada petang Ahad lalu, perdana menteri, Hun Sen telah menjawab permintaan pemiliknya melalui hantaran di Facebook.

Hun Sen memberitahu, beliau sudah mengemukakan perkara tersebut kepada Menteri Pertanian, Veng Sakhon dan setuju agar singa itu dikembalikan kepada pemiliknya jika binatang itu disimpan dalam “kandang yang tepat”.

Beliau juga memerintahkan pihak berkuasa untuk membayar balik denda yang dibayar oleh pemiliknya, yang dilaporkan sebanyak AS$ 30,000 (£ 21,600).

Pemilik singa itu mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dalam komen pada hantaran tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Kemboja atas bantuan dan sokongan mereka.

Menteri Pertanian memberitahu media VOA Khmer bahawa keputusan itu adalah “bersimpati” daripada perdana menteri.

Dia berkata, pihak berkuasa akan memastikan singa itu dipelihara dengan selamat.

Bagaimanapun, Kementerian alam sekitar Kemboja berkata, tindakan memelihara singa sebagai haiwan peliharaan di negara ini adalah dilarang sama sekali, selari dengan Artikel 49 Undang-Undang Perhutanan, yang melarang kegiatan yang melibatkan spesies hidupan liar yang terancam.

Wildlife Alliance, kumpulan penyelamat haiwan yang membantu merampas singa, mendakwa keadaan di rumah pemiliknya “tidak sesuai untuk binatang liar”.

“Selain itu, gigi taring dan kuku singa itu telah dicabut, sekali gus menafikan kehidupan haiwan tersebut” kata organisasi itu bulan lalu.

Dalam temu bual dengan akhbar Khmer Times, pemiliknya menafikan tuduhan dia telah menganiaya singa itu.

Katanya, dia menghabiskan AS$ 5,000 sebulan untuk menyewa sebuah vila khas hanya untuk haiwan kesayangannya.

Tetapi beberapa pengkritik sangat tidak setuju dengan keputusan untuk mengembalikan haiwan itu.

Dalam ciapan Duta Besar United Kingdom ke Kemboja, Tina Redshaw berkata, tindakan menyerahkan semula singa itu telah melemahkan undang-undang untuk mencegah pemilikan dan perdagangan hidupan liar yang terancam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast