Wanita yang cedera selepas terjun dari bangunan sebuah hotel dikawal ketat oleh anggota polis.

KUALA LUMPUR – Tindakan nekad seorang wanita yang terjun dari tingkat satu sebuah hotel untuk mengelak ditangkap ternyata gagal selepas mengalami kecederaan.

Wanita berusia 34 tahun itu cedera di pergelangan kaki kanannya.

Dia yang ditahan telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dengan dikawal ketat.

Insiden itu berlaku semasa serbuan polis di sebuah hotel di Taman Setapak Indah pada jam 9.30 malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, wanita berkenaan antara tujuh wanita warga Thailand yang berjaya ditahan dalam serbuan Op Patuh/ Op Noda Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

Kesemua mereka berusia 29 hingga 34 tahun sedang disiasat untuk tindakan lanjut, katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah Nasri, pihaknya dalam serbuan sama turut merampas 10 keping kondom dan wang tunai RM1,050 yang diperolehi daripada enam wanita tersebut.

Ketika serbuan, tiada penjaga premis di hotel berkenaan.

Dalam satu lagi serbuan berasingan, Nasri berkata, seorang pegawai polis cedera di tangan ketika melakukan tangkapan terhadap suspek yang disyaki terlibat dengan sindiket pelacuran di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu di sini.

Katanya, pegawai polis itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM UKM).

“Seramai tujuh wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan berusia 26 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

“Kita turut merampas 11 keeping kondom, dua dekoder dan wang tunai RM1,230 dalam serbuan itu,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) sementara kes mencederakan anggota polis itu disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette