Penggunaan katil bagi kes kritikal di seluruh negara semalam menunjukkan bawah 50 peratus.

KUALA LUMPUR – Sehingga kini, empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu Covid-19 melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri masing-masing iaitu lebih 38 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Negeri-negeri yang dimaksudkan adalah Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan, menurut Ketua Pengarah Kesihatan,  Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Kes harian baharu yang dilaporkan itu tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan malah terus meningkat secara purata pada kadar 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.

Menurutnya, jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan jumlah purata kes baharu harian selama tujuh hari  antara 30 Jun hingga 6 Julai 2021 sebanyak 6,539 kes dan ia masih tinggi berbanding nilai ambang Program Pemulihan Negara iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.

“Nilai ambang 4,000 kes baharu harian ini adalah ditetapkan berdasarkan kapasiti hospital menghadapi situasi luar jangka, kadar kemasukan kes ke wad dan kadar discaj kes semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk adalah Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Sarawak, dan Pahang.

Lebih membimbangkan, tren kemasukan kes-kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih pada tahap yang tinggi tanpa  menunjukkan penurunan ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 iaitu 6 hingga 12 Jun lalu.

Sehingga kini, jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus, katanya.

Pada masa yang sama, para petugas barisan hadapan juga mengalami gelaja keletihan (burnout) kerana terpaksa berjuang menangani banyak kes dalam tempoh yang lama.

Khuatir dengan situasi itu, Dr. Noor Hisham menjelaskan, pihaknya mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat Covid-19 di lapangan antaranya menukar beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai hospital penuh Covid-19 misalnya Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Kita juga meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5, memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisma penyumberan luar.

“Justeru kita mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes Covid-19, menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal, menambah kapasiti katil bagi pesakit di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Selain itu cadangan dikemukakan untuk menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital Covid-19, bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan di katil wad biasa dan katil ICU,” ujarnya.

Malah Kementerian Kesihatan juga menggalakkan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) dan memobilisasikan lebih ramai petugas dari negeri-negeri PPN Fasa 2 ke negeri-negeri kritikal, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti-aktiviti mengawal wabak dan vaksinasi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Katil pesakit HTAR melimpah sampai luar?