Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melantiknya sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

Dalam kenyataan menerusi Facebooknya petang ini, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Terima kasih YAB Perdana Menteri di atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri. Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai Kluster Keselamatan selain membantu YAB Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya.

“Saya juga percaya, hanya dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak, kita mampu keluar daripada krisis ini bersama-sama,” katanya.

Petang ini, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri yang berkuatkuasa serta merta.

Selain jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, Ismail Sabri kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Kedua pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan berkuatkuasa serta merta.

Menurut Hishammuddin, apa juga jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendiriannya tetap sama iaitu mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati.

“Saya berdoa, semoga Allah SWT meredhai ketentuan ini. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Dh dpt jwtn sng la ckp berkhidmat sepenuh hati..masa BossKu kena dulu kau org pertama letak jwtn dlm parti dan tinggalkan D.S NAJIB sorg diri..choiiii

Comments are closed.