Anggota penguatkuasa Imigresen membuat serbuan di salah sebuah tapak pembinaan di Cyberjaya ketika operasi penguatkuasaan pendatang tanpa izin di Cyberjaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 07 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 23 Jun lalu bersetuju dengan lanjutan Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021.

Mesyuarat itu turut bersetuju supaya Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja ini diperluaskan kepada subsektor perkhidmatan restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian.

Selain itu, pelaksanaan pelan rekalibrasi pendatang asing tanpa izin (PATI) Tenaga Kerja turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada persetujuan kerajaan-kerajaan negeri tersebut, kata Kementerian Sumber Manusia.

Menurutnya, proses kelulusan penentuan kuota bagi program ini adalah selepas lulus tapisan pengesahan PATI oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Seterusnya, majikan yang mempunyai PATI yang telah lulus proses pengesahan boleh membuat permohonan menerusi laman sesawang www.fwcms.com.my.

Oleh yang demikian, majikan tidak perlu lagi membuat permohonan menerusi laman sesawang www.eppax.gov.my

Proses penentuan kuota oleh Kementerian Sumber Manusia dan Agensi-Agensi Kawalselia selepas PATI lulus tapisan pengesahan di Jabatan Imigresen Malaysia akan dapat mewujudkan keseimbangan dari segi jumlah kelulusan kuota serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan. – MalaysiaGazette