KUALA LUMPUR – Pasar Datuk Keramat di ibu kota akan ditutup selama tujuh hari bermula esok bagi tujuan sanitasi.
Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), tiada sebarang aktiviti perniagaan akan dijalankan di pasar itu sepanjang tempoh berkenaan sehingga 14 Julai ini.
“DBKL akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan ini,” kata kenyataan itu yang dimuatnaik menerusi Facebook rasmi DBKL, semalam.
Kerja sanitasi pasar itu berikutan beberapa lokaliti dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan kes positif yang semakin meningkat.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, DBKL melanjutkan tempoh penutupan laluan susur dari Lebuhraya Cheras-Kajang ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat (Taman Connaught) sehingga 12 Julai ini.
Penutupan itu bagi membolehkan kerja baikpulih sistem perparitan dan memperbaharui jalan di terowong susur dari lebuh raya itu dapat dilakukan dengan sebaiknya.
“Kerja ini sepatutnya berakhir 4 Julai lalu, tetapi terpaksa dilanjutkan sehingga 12 Julai.
“Pengguna laluan ini boleh menggunakan laluan alternatif sedia ada di hadapan susur simpang Taman Len Seng, Cheras Sentral Mall untuk ke Lebuhraya Hubungan Timur-Barat dan Taman Connaught.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan agar mematuhi arahan papan tanda dan berhati-hati ketika melewati kawasan tersebut,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















