Seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan akan diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 9 hingga 22 Julai ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan akan diletakkan bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa 9 hingga 22 Julai ini.

Kawasan itu melibatkan lapan mukim iaitu Mukim Ampangan, Mukim Labu, Mukim Lenggeng, Mukim Pantai, Mukim Rantau, Mukim Rasah, Mukim Seremban dan Mukim Setul.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemantauan dari Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati daerah itu mencatatkan peningkatan kes sebanyak 5,504 kes aktif sehingga 4 Julai lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kapada media selepas mengadakan lawatan bagi memantau pelaksanaan proses vaksinasidi Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.
Ismail Sabri Yaakob

“Pada masa sama, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga mengesahkan penularan kes masih berlaku dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti ini, sekali gus memerlukan kaedah pemutusan jangkitan dengan segera.

“Dari penilaian risiko dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di seluruh daerah Seremban, Negeri Sembilan selama dua minggu mulai 9 Julai ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di semua mukim yang terlibat serta mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Selain daerah Seremban, turut diletakkan bawah pengawasan PKPD mulai Jumaat ini ialah Kampung Sungai Imam, Tawau, Sabah; dua perkampungan di Putatan, Sabah iaitu Kampung Lembising dan Kampung Dumpil Keramat; dan Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah.

Kuarters Pekerja Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Kuantan, Pahang juga dikenakan PKPD, termasuk Kawasan Perindustrian Indahpura serta tujuh lokaliti dalam Kawasan Perindustrian Senai.

Lokaliti itu ialah Kawasan Perindustrian Indahpura, Kawasan Perindustrian Senai, Kawasan Industri Senai Fasa 1, Kawasan Industri Senai Fasa 2, Kawasan Industri Senai Fasa 3, Kawasan Industri Senai Fasa 4, Taman Perindustrian Senai, Taman Perindustrian Murni Senai dan Senai Airport City (SAC).

Turut terlibat ialah dua Taman Perumahan di Kota Bharu, Kelantan iaitu Taman Kurnia Jaya dan Taman Pinggiran Golf; Kampung Balibata, Beaufort, Sabah; Kampung Pintasan, Kota Belud, Sabah; Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan, Sabah.

Pada masa sama, Ismail Sabri mengumumkan penamatan awal PKPD di Kampung Tahak, Membakut, Beaufort, Sabah; Kampung Pulau Tukang Dollah, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan; Kampung Tambulion Ulu, Kota Belud, Sabah; dan Kampung Kukut, Beaufort, Sabah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast