Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamed pada majlis penyerahan tiga mesin ventilasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor mengesahkan kerajaan negeri telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 12 Ogos ini.

Datuk Hasni Mohamed berkata, surat rasmi itu Agong  memperkenankan sidang DUN diadakan pada tarikh berkenaan sudah pun diterima kerajaan negeri.

“Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sudah dimaklumkan mengenai perkenaan Yang di-Pertuan Agong itu.

“Kerajaan Johor sudah pun menerima surat rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos ini.

“Oleh itu, kerajaan Johor akan membuat persiapan dan perancangan agar sidang DUN berjalan sebagaimana kehendak peraturan persidangan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor,” katanya selepas majlis penyerahan tiga mesin ventilasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh sidang DUN, Hasni berkata, perkara itu belum boleh diputuskan dan akan diperincikan terlebih dahulu.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini.

Baginda juga berkenan untuk berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.-MalaysiaGazette