KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumpul kira-kira RM1.52 juga dari warga kerjanya yang menderma secara sukarelawan untuk membantu keluarga B40 yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM1 juta telah diagihkan kepada lebih 1,800 keluarga B40 di seluruh negara menerusi Tabung Warga TNB Prihatin (WTP).
Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, dengan bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban keluarga berkenaan yang terpaksa menempoh masa sukar ketika ini.
“Lebih 1,800 keluarga B40 dari seluruh semenanjung yang terkesan akibat pandemik Covid-19 telah menerima bantuan berbentuk wang tunai dari WTP yang dilancarkan 9 Jun lalu, melibatkan agihan bernilai lebih RM1 juta.
“Secebis bantuan dari kami ini diharap mampu mengukir senyuman dan membawa rasa bahagia kepada penerima bagi menempuhi tempoh yang agak sukar ketika ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, Tabung WTP adalah wadah untuk warga kerja syarikat GLC itu membantu rakyat memerlukan dalam suasana pandemik berlanjutan, selari kesungguhan TNB menerangi kehidupan penduduk.
Katanya, selain warga kerja menyumbang lebih RM1.52 juta, turut menderma pemimpin kesatuan dan persatuan dalaman TNB yang bersepakat menubuhkan tabung serta pelbagai pihak.
Ujar Mahdzir, sambutan baik warga kerja TNB menjayakan tabung itu adalah manifestasi nilai murni Budaya TNB iaitu prihatin, kerjasama, mengutamakan pelanggan, integriti, profesionalisme dan berwawasan yang amat penting dalam usaha menyeluruh pihaknya membantu kerajaan menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Dalam menyokong usaha PPN ini, TNB menumpukan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa, melindungi golongan rentan, menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.
“Dalam suasana ramai yang tertekan akibat pandemik Covid-19, dengan ada yang kehilangan sebahagian punca pendapatan, bahkan kehilangan pekerjaan, tabung amal ini juga memberi keinsafan kepada warga kerja kami untuk sentiasa berkongsi nikmat.
“Alhamdulillah, menerusi maklum balas penerima dari berbilang bangsa, ramai menyatakan bantuan Tabung WTP dapat meredakan kesusahan keluarga masing-masing,” katanya.
Selain Tabung WTP, sejak awal tahun ini, TNB telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada lebih 10,000 golongan B40 dengan peruntukan hampir RM9.5 juta termasuk membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, pengagihan bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. – MalaysiaGazette
















