Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang beraksi pada AFC Champions League 2021 (ACL) membawa pulang AS$60,000 (RM250,890) selepas menewaskan kelab Thailand, Ratchaburi FC 1-0 pada 25 Jun lalu dan seri tanpa jaringan dengan lawan yang sama malam tadi.

Cabaran wakil negara itu berakhir semalam apabila kelab itu menamatkan saingan pada kedudukan ketiga dalam kumpulan G dengan empat mata selepas mengharungi enam perlawanan di Bangkok.
Keputusan yang dilakar oleh JDT dalam kempen ACL musim ini menyamai pencapaian pada musim 2019 dengan satu kemenangan dan satu seri.
Sebagai rekod, setiap pasukan yang mencatat kemenangan akan mendapat AS$50,000 (RM209,075) di peringkat kumpulan manakala keputusan seri membolehkan mereka mendapat AS$10,000 (RM41,815).

Malah, pasukan yang layak ke pusingan 16 terbaik akan memperoleh AS$100,000 (RM418,150) sementara suku akhir menjanjikan hadiah yang lebih lumayan sebanyak AS$150,000 (RM619,000).

Pasukan yang mara ke separuh akhir pula akan menerima AS$250,000 (RM1.04 juta) manakala naib juara akan mendapat AS$2 juta (RM8.25 juta) dan AS$4 juta (RM16.5 juta) pula akan akan diberikan kepada juara AFC Champions League.

Ini berbeza dengan kejohanan AFC Cup, yang mana hadiah wang tunai hanya akan diberikan kepada juara dan naib juara sahaja.

Juara AFC Cup akan menerima AS$1.5 juta (RM6.27 juta) manakala sebagai naib juara pula akan menerima sebanyak AS$750,000 (RM3.13 juta). – MalaysiaGazette