Antara barang-barang makanan yang dihulurkan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 120 buah bakul makanan diagihkan Polis Kuala Lunpur kepada 120 keluarga warga kota termasuk di Putrajaya yang terputus bekalan makanan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Katanya, bakul makanan itu diagihkan terus oleh semua Ketua Polis daerah Kontinjen Kuala Lumpur secara bersemuka dengan turut disertai Skuad Aman Wanita Amanita dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Maklumat bagi pengagihan bakul makanan ini telah diterima oleh Polis Kuala Lumpur melalui persatuan penduduk serta telah diselaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pengagihan bakul makanan ini diberikan kepada golongan orang kurang upaya, ibu tunggal yang berdaftar dengan JKM, golongan yang menerima bantuan daripada Baitulmal dan penduduk yang hilang punca pendapatan semasa ketika tempoh pandemik ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini penduduk yang diberikan bantuan adalah di Projek Perumahan Awam Sri Sarawak, Flat Danau Kota, Kampung Chubadak Tambahan, Pangsapuri Awam Sri Johor, Apartmen Putra Ria dan Pangsapuri Putra Harmoni.

Ujarnya, Polis Kuala Lumpur mengalu-alukan sekiranya ada pihak korporat atau NGO yang ingin membantu memberikan bantuan kepada orang ramai yang memerlukan ketika ini.

Katanya, pihak-pihak yang bermurah hati boleh menghubungi ibu pejabat polis daerah dan balai polis berhampiran untuk memohon bantuan sekiranya diperlukan.

“Semoga dengan inisiatif program seperti ini dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga terjejas semasa mengahadapi tempoh yang sukar ini,” katanya. – MalaysiaGazette