Pusat beli-belah 1 Utama

KUALA LUMPUR – Pusat membeli-belah 1 Utama di Selangor menafikan mesej bahawa berlaku jangkitan varian Delta dalam kompleks itu yang menyebabkan kematian.

Ahli Lembaga Pengarah 1 Utama, Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, mesej yang tular itu adalah tidak betul dan pihaknya bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

Beliau berkata, hakikatnya, seorang pekerja dalam hostel pasar raya Aeon telah disahkan positif COVID-19, tetapi tidak menunjukkan apa-apa simptom yang ketara.

“Untuk membetulkan keadaan penularan berita palsu, kami tidak menafikan akan mendakwa penyebar khabar angin yang tidak benar jika identiti orang itu dapat dikenal pasti,” katanya kepada China Press.

Kebelakangan ini, satu pesanan telah tersebar dalam media sosial meminta orang ramai tidak mengunjungi 1 Utama kerana telah berlaku kes jangkitan varian Delta.

Jangkitan di 1 Utama itu didakwa telah menyebabkan tiga orang yang duduk serumah meninggal dunia dalam tempoh dua hari.

Berita palsu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan penutupan pasar raya Aeon di 1 Utama untuk kerja sanitasi dari 5 Julai hingga 7 Julai.

Pasar raya itu bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada penutupan dan sanitasi itu mempunyai kaitan dengan kes COVID-19 dalam kalangan pekerja atau pelanggan. – MalaysiaGazette