Kerajaan komited pastikan program vaksinasi berjalan mengikut jadual.

KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini berjaya meningkatkan kadar vaksinasi harian melebihi 300,000 dos sehari.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam, jumlah vaksinasi yang dicatatkan di seluruh negara sebanyak 376,909 dos.

Kata beliau, mengikut makluman Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos 1 dan 2 di seluruh negara setakat ini 10,413,270 dos.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kapada media selepas mengadakan lawatan bagi memantau pelaksanaan proses vaksinasidi Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 JULAI 2021.
Ismail Sabri Yaakob

“Bagi yang belum mendaftar mendapatkan vaksin, kita menyeru supaya tampil dan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my atau di talian hotline 1-800-88-8828.

“Selain itu, pendaftaran secara manual juga telah diperkenalkan di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan.

“Kerajaan terus komited dalam memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar serta akan berusaha sebaik mungkin bagi mempercepatkan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mengenai pemantauan dan penguatkuasaan SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail menjelaskan, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh daripada segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis berkenaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan dan SOP yang diwartakan.

Kata beliau, semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan 83,031 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota 20,311 orang.

Ini katanya, termasuk pemeriksaan ke atas 2,568 kilang, 16,960 premis perniagaan, 900 tapak pembinaan dan 379 asrama penempatan pekerja.

“Hasil pemeriksaan itu, sebanyak 56 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis, beliau berkata, semalam sebanyak 83,031 pemeriksaan dilakukan melibatkan 4,554 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 20,311 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, seramai 531 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 499 individu dikompaun, manakala 32 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (114), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (109), tidak memakai pelitup muka (69), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (66).

Tidak patuh arahan kawalan pergerakan (44), membawa penumpang berlebihan (38), premis gagal patuhi arahan (20), majikan gagal memastikan kapasiti kehadiran pekerja/menjalani ujian saringan (13) dan lain-lain (58).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, dalam Operasi Benteng semalam, pasukan keselamatan telah menangkap 10 pendatang asing tanpa izin dan merampas 12 kenderaan darat serta sebuah bot atau kapal.

“Dalam operasi itu, sebanyak lima bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast