KUALA LUMPUR – Selepas menerima laporan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, kerajaan bersetuju meletakkan lokaliti Apartment Sri Rakyat, Bandar Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD kawasan itu dikuatkuasakan pada 11 hingga 24 Julai ini berikutan KKM mendapati berlaku peningkatan kes di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, hasil pemantuan KKM merekodkan 94 kes positif daripada 598 penduduk yang menjalani ujian saringan.
Katanya, pelaksanaan PKPD itu bertujuan untuk mengawal pergerakan penduduk, sekali gus mengekang penularan jangkitan ke komuniti lain.
Selain itu, Blok 11 dan 12, Lorong 4, Taman Nuri, Sandakan, Sabah juga akan dikenakan PKPD mulai Ahad ini
“Sehingga kini, KKM telah melakukan 16 ujian saringan dan sembilan daripadanya di laporkan positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu.
“SOP bagi semua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini. Maklumat lanjut boleh diakses di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga terpaksa melanjutkan tempoh PKPD Jalan Kubur, Kuala Lumpur selama satu minggu bermula 10 hingga 15 Julai ini.
Lokaliti itu sepatutnya tamat hari ini, tetapi kes positif di kawasan berkenaan masih tinggi iaitu 258 daripada 492 yang menjalani ujian saringan, maka dilanjutkan seminggu.
Katanya, kes positif masih menular dalam kalangan penduduk, selain terdapat kes baru direkodkan di lokaliti tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa lokaliti yang akan ditamatkan PKPD bermula esok.
Lokaliti itu ialah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni, Sandakan, Sabah; Kampung Segambut Dalam, WP Kuala Lumpur; dan Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan, Tawau, Sabah.
Turut ditamatkan pada 10 Julai ini ialah dua lokaliti di Tawau, Sabah iaitu Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih; serta Lorong 12, 15 & 16, Taman Fajar, Sandakan, Sabah. – MalaysiaGazette