Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata parti itu menyerahkan sepenuhnya kepada 36 Ahli Parlimennya untuk menerima atau tidak usul undi percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat canggung.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu tidak menggambarkan keputusan awal Majlis Kerja Tertinggi (MKT), awal Khamis lalu.

“Sehubungan dengan itu, kami Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO iaitu memberikan kebebasan budi bicara kepada ahli-ahli parlimen untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Shahidan menuntut Ahmad Zahid memberi penjelasan berhubung menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Beliau berkata, ini kerana secara logiknya, apabila Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, kerajaan di bawah pentadbirannya secara automatik akan runtuh.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, perkata itu dilihat berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semalam.

“Terdapat pertambahan ketetapan baru yang dikenakan kepada Ahli-ahli Parlimen UMNO apabila perlu menjadikan keputusan parti sebagai panduan di dalam melaksanakan tanggungjawab ketika sidang Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

UMNO beri kuasa kepada Ahli Parlimen untuk terima undi percaya PM atau tidak