Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO menyerahkan sepenuhnya kepada 36 Ahli Parlimennya untuk membuat keputusan untuk menerima atau tidak usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang Parlimen yang akan diadakan kelak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata: “Keputusan yang pertama kita memberikan kuasa kepada Ahli-ahli Parlimen UMNO bahawa apabila persidangan Parlimen dijalankan.

“Ketika ada agenda pengundian sama ada pengundian percaya atau tidak percaya, kita serahkan kepada budi bicara Ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan di Parlimen,” katanya dalam video yang tular hari ini.

Video itu dipercayai adalah rakaman Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang dibuat secara maya pada malam tadi.

Video berdurasi 47 saat itu rata-ratanya adalah mengenai perjalanan mesyuarat itu sebelum satu sidang media rasmi dibuat oleh Ahmad Zahid.

Lewat malam tadi, UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin selepas mendapat majoriti dalam MKT.

Ahmad Zahid berkata, sokongan sejak Mac tahun lalu itu ditarik balik selepas kerajaan gagal menangani masalah Covid-19, ekonomi dan bebanan rakyat, serta memperkotak-katikkan institusi beraja bagi mengadakan sidang Parlimen. – MalaysiaGazette