Sunday, September 19, 2021
Home Utama Tengku Zafrul hubungi saya untuk berjumpa – Tun M

Tengku Zafrul hubungi saya untuk berjumpa – Tun M

Dr. Mahathir Mohamad
LANGKAWI – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau dihubungi Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, pagi tadi.
Menurut Dr Mahathir, tujuan panggilan itu dibuat adalah bagi mengatur satu pertemuan bersama yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Jawatankuasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menjelaskan, beliau masih belum memberikan sebarang kata putus mengenai persetujuan atau tarikh bagi pertemuan terbabit.
“Kita nak tengoklah (pelaksanaan macam mana), nak tubuhkan badan (atau apa-apa jawatankuasa) itu mudah tetapi hendak buat kerja, (terutama) nak bagi kurang kes baharu (positif COVID-19) ini, memerlukan banyak idea baharu.
“Saya tak tahu Menteri Kewangan ini mempunyai idea macam mana nak kurangkan (jumlah kes), tetapi dia minta nak jumpa dengan saya, tak tahulah, saya tak buat keputusan lagi, saya dengar (dia telefon) pagi ini,” kata Dr Mahathir yang dilaporkan Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, di sini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berharap agar kerajaan tidak menambahkan lagi kemarahan rakyat dengan beberapa tindakan serta pelan yang disifatkannya sebagai sia-sia dan hanya memburukkan keadaan.
Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara rasmi dilantik sebagai Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Jemaah Menteri bersetuju Tengku Zafrul memikul tanggungjawab untuk memantau pelaksanaan strategi dan bantuan serta mengambil langkah intervensi yang proaktif dan bersesuaian dengan situasi pandemik COVID-19 yang sangat dinamik.
Dalam pada itu, kenyataan sama menyebut, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai PPN (JKKPPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat turut bersetuju untuk memperkukuhkan lagi beberapa bentuk kerjasama dengan pakar-pakar. – MalaysiaGazette