Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (dua, kanan) menyerahkan bakul makanan berupa barang keperluan asas kepada salah seorang penduduk Taman Mekar, Yong Peng.

BATU PAHAT – Sekurang-kurangnya 100,000 pemandu pengangkutan awam termasuk perkhidmatan e-hailing di Lembah Klang disasarkan menerima vaksin COVID-19 penghujung Ogos depan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kementerian akan memastikan ia tercapai sekali gus membantu mempercepat proses imunisasi kelompok selain membolehkan mereka dapat berkhidmat dalam sektor pengangkutan awam.

Setakat ini, katanya pihak kementerian berpuas hati dengan peningkatan kadar vaksin bagi mereka terlibat dalam pengangkutan awam yang dibuat dalam kelompok besar sekarang ini.

“Pemberian vaksin kepada kelompok itu akan terus dirancakkan memandang mereka juga adalah golongan barisan hadapan yang bekerja dari awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga hari ini.

“Kita akan serahkan senarai nama mereka yang berkhidmat di sektor pengangkutan awam ini kepada urusetia Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan jika ada kekosongan mereka diberi keutamaan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika penyerahan bakul makanan kepada penduduk terjejas di sekitar Parlimen Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai sumbangan bakul makanan di kawasannya, Wee berkata pihaknya telah menyalurkan sebanyak 5,000 bantuan kepada mereka yang memerlukan selain memastikan tidak berlaku keciciran.

Katanya, agihan sumbangan berkenaan dilaksanakan dengan bantuan daripada petugas khas yang terdiri daripada ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung.

Penerima bakul makanan Mohd Urat Mohd Amin, 57, berkata bantuan yang diterima bertepatan kerana rakyat kini terkesan dan kebanyakannya tiada pekerjaan setelah penularan pandemik COVID-19 ini.- BERNAMA