Fadillah Yusof menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Ketua Isi Rumah di Parlimen Petra Jaya.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 5,000 penerima atau Ketua Isi Rumah (KIR) mendapat bantuan menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di Parlimen Petra Jaya, Sarawak baru-baru ini.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bantuan menerusi peruntukan RM300,000 daripada Kerajaan Persekutuan itu diagihkan kepada penduduk yang memerlukan yang merupakan kesinambungan dan tambahan kepada program Pusat Khidmat Parlimennya yang sentiasa menyalurkan bantuan kepada golongan bersasar secara berterusan.

Jelas beliau, bagi Program Bakul Makanan, penetapan RM100 untuk setiap bakul makanan dikurangkan kepada RM60 bagi memastikan lebih ramai golongan sasar mendapat manfaat daripada program ini.

“Dengan itu jumlah penerima dapat ditambah daripada hanya 3,000 kepada 5,000 KIR. Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya juga akan berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi memastikan lebih ramai golongan sasar dapat dibantu.

“Mereka terdiri daripada keluarga yang dikuarantin akibat pandemik Covid-19, kumpulan miskin tegar yang berdaftar di bawah eKasih, kumpulan B40 dan individu kehilangan pekerjaan serta memerlukan bantuan khusus selain daripada makanan asas.

“Bantuan bakul makanan yang diagihkan bukan melibatkan makanan namun keperluan bayi seperti lampin pakai buang dan keperluan golongan warga emas.

“Sumbangan telah dilakukan di Kampung Sungai Bedil Besar dan di Surau Al Amin, Kampung Gita Baru sebelum bergerak ke Kampung Kudei untuk walkabout dan menyampaikan bantuan kerusi roda, ‘walking frame’, pampers, barangan keperluan bayi kepada golongan sasar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan bakul makan turut melibatkan sumbangan lampin pakai buang.

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu, seramai 17,000 penerima dalam kawasan parlimennya turut mendapat Bantuan Bakul Makanan Kasih Sayang Sarawak di bawah program Bantuan Khas Sarawakku Sayang 6.0 (BKSS 6.0) yang diperuntukan Kerajaan Sarawak melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Tambah beliau, bermula Januari hingga Jun lalu, seramai 3,035 lagi KIR dalam Parlimen Petra Jaya juga telah menerima bantuan menerusi peruntukan pusat khidmat Petra Jaya bernilai RM182,100.

Menurutnya,  ini bermakna seramai 25,035 KIR terdiri daripada golongan sasar dalam kawasan Parlimen Petra Jaya menerima bantuan menerusi BKSS 6.0, PEMULIH dan peruntukan Pusat Khidmat sejak awal tahun ini.

“Keperitan rakyat harus kita bantu dan bantuan perlu disampaikan terus kepada golongan sasar. Kita sedar ramai yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan ketika ini serta kita akan berusaha membantu sedaya mampu.

“Terima kasih Kerajaan Persekutuan yang menyediakan peruntukan program bakul makanan ini kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

“Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri yang menyalurkan bantuan menerusi BKSS. Moga ia dapat meringankan serba sedikit beban rakyat khususnya golongan sasar dalam berdepan kesan pandemik Covid-19,” katanya.

 

Bantuan kerusi kesihatan turut disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

Sementara itu, Pusat Khidmat Parlimen Petra Jaya sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai sekiranya terdapat penduduk yang memerlukan bantuan dalam kawasan parlimen itu akibat tercicir daripada senarai penerima bantuan atau jika ada yang terlepas pandang.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Pusat Khidmat Parlimen itu iaitu Abdur Rahman Abdul Rahim  di talian 013-2644174 untuk DUN Tupong; Morshidi Said  di talian 013-8051971 untuk DUN Samariang dan Naz Ismadiee Khalit di talian 016-9247477 bagi DUN Satok. – MalaysiaGazette