Logo UiTM

KUALA LUMPUR – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sentiasa prihatin memastikan kebajikan dan kemudahan pelajar khususnya bagi menjalani sesi pembelajaran secara ODL (Open Distance Learning).

Jelas universiti itu, pelajar-pelajar yang memerlukan kemudahan internet dan peranti dibantu dan dialu-alukan untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.

“Bagi aspek pentaksiran dan penilaian, pihak UiTM, melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta para pensyarah yang terlibat telah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh-tarikh penting tugasan kepada para pelajar di awal semester melalui
pelan pengajian setiap kursus.

“Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM melalui inisiatif prihatin telah pun melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu Penilaian Akhir sehingga Ogos 2021. Ia dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang
dikeluarkan dan telah dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun 2021 lalu,” kata Perhubungan Awam, Media dan Protokol Jabatan Komunikasi Korporat UiTM menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling, UiTM juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dalam
menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL ketika pandemik Covid-19 ini.

“Para pelajar adalah disarankan agar sentiasa berbincang dengan para pensyarah, penasihat akademik atau Ketua Program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian,” kata universiti itu lagi.

Terdahulu, UiTM berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dua pelajarnya di cawangan Kedah dan Pahang yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Dua pelajar universiti yang meninggal adalah Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah dan Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam Cawangan Pahang.

Semalam tular di media sosial pelajar UiTM cawangan Kedah yang meninggal akibat tekanan berikutan perlu menjalani kuliah dalam talian, selain bebanan menyiapkan tugasan dan persiapan menghadapi peperiksaan akhir.-MalaysiaGazette