Afgan.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular Indonesia, Afgan mengesahkan dirinya positif Covid-19 sejak Khamis lalu tanpa mengalami sebarang simptom.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza kini sedang menjalani kuarantin kendiri dan berharap akan kembali sembuh tidak lama lagi.

Menurut penyanyi berusia 32 tahun itu, keadaannya kini masih baik dan mungkin disebabkan dirinya sudah mendapatkan suntikan vaksin sebelum ini.

“Jadi, sebenarnya saya disahkan positif Covid-19 dan hari ini merupakan hari keempat (Ahad) saya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

“Bagaimanapun saya tidak mengalami sebarang simptom buat masa kini. Mungkin juga kerana saya sudah mendapat vaksin jadi simptom itu tidaklah terlalu teruk.

“Jadi kepada anda semua, pastikan diri anda lengkap mendapatkan vaksin kerana sekiranya terkena Covid-19, impaknya berkurangan, ” tulisnya di laman Instagram.

Penyanyi lagu Jodoh Pasti Bertemu itu turut memuat naik video dia sedang melakukan aktiviti bersenam menerusi laman Instagram miliknya.

Sementara itu, Afgan berkata, seseorang yang dijangkiti virus namun tidak mengalami simptom juga boleh melakukan aktiviti bersenam untuk kekal sihat.

Penyanyi yang mempunyai hubungan rapat dengan selebriti terkenal Rossa itu berharap orang ramai untuk terus kekal positif dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi mengekang penularan wabak itu.

“Jadi, beginilah rutin saya iaitu bersenam bagi memastikan diri kekal sihat dan cergas sepanjang tempoh kuarantin. Rutin senaman juga hanya yang mudah dan tidak begitu keterlaluan.

“Kepada anda yang positif virus Covid-19 tanpa sebarang simptom seperti saya, anda boleh terus beriadah, cuma secara ringkas saja. Tidak mahu sehingga menjejaskan kesihatan pula.

“Yang masih sihat, kekal gaya hidup teratur dan baik. Dan kepada anda yang sudah diuji dengan virus Covid-19, cepat sembuh dan terus semangat ya!” kongsi Afgan. – MalaysiaGazette