Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan dirinya telah dikompaun polis hari ini.

Dalam satu kenyataan, Annuar berkata, dirinya dikompaun setelah mengadakan lawatan ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Beliau telah menerima kompaun daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin,” kata kenyataan pejabatnya hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Ahli Parlimen Ketereh itu memuatnaik gambar beliau ketika membuat lawatan itu.

Lawatan dua jam itu turut dihadiri isteri beliau sambil makan tengahari bersama Abdullah dan Tun Jeanne Abdullah di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Kuala Lumpur.

“Hari ini kami suami isteri ambil peluang ziarah Tun Abdullah Badawi dan Tun Jeane Abdullah di kediaman mereka di Bait Badawi di Kuala Lumpur.

“Lebih dua jam bersama dan makan tengah hari masakan Tun Jeane. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Pak Lah seisi keluarga,” ciap Annuar.

Bagaimanapun selang beberapa lama selepas ciapan di Twitter, Annuar memadam perkongsian itu akaun media sosialnya selepes diserang netizen.

Ia kerana beliau didakwa netizen bahawa tindakannya melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) ketika ini.

Dalam pada itu, pejabat Menteri Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Annuar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Annuar padam posting ziarah Pak Lah