Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dilantik Pengerusi Petronas menggantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh yang dilantik Pengerusi Pelaburan Hartanah Bhd.

KUALA LUMPUR- Pengerusi TM, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh dilantik sebagai Pengerusi Petronas berkuatkuasa 1 Ogos ini.

Beliau menggantikan Tan Sri Ahmad Nizam Salleh yang dilantik Pengerusi Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) berkuatkuasa pada tarikh yang sama.

“Tan Sri Mohd Bakke merupakan ahli korporat yang berpengalaman luas dan telah berkhidmat dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan.

“Diharapkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau serta sokongan padu daripada Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan sedia ada, akan dapat membawa Petronas melalui tempoh mencabar sekarang ke tahap yang lebih cemerlang,” kata kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Nizam bagaimanapun akan kekal sebagai Pengerusi kumpulan syarikat KLCC dan pengalaman beliau di Petronas dan pengurusan hartanah KLCC bakal membawa nafas baharu dalam pengurusan PHB.

“Perdana Menteri mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Ahmad Nizam selama tiga tahun sebagai Pengerusi Petronas.

“Berdasarkan pengalaman beliau selama 37 tahun berkhidmat di Petronas dalam pelbagai jawatan, beliau telah berjaya mengemudi syarikat berkenaan mengharungi cabaran terbesar yang dihadapi negara dan dunia, termasuklah ketidaktentuan harga minyak dunia dan krisis pandemik COVID-19.

“Petronas masih kekal mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan merupakan syarikat unggul negara yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya lagi- MalaysiaGazette