Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dakwaan penjualan slot janji temu vaksinasi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebarang perkembangan terbaharu akan dimaklumkan kepada orang awam oleh PDRM.

“Selain itu, satu Garis Panduan Pemantauan Vaksin dan Penyediaan “Standby List” telah dikuatkuasakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dalam pemberian vaksin.

“Selain daripada memperkemaskan lagi pemantauan di PPV melalui garis panduan ini, keupayaan sistem di PPV akan terus dipertingkatkan melalui pengenalan dua faktor pengesahan bagi setiap penetapan janji temu dan penambahan bilangan penerima vaksin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menyentuh mengenai isu kehadiran pesakit Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin, Khairy berkata, terdapat beberapa langkah segera yang diambil oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) apabila menerima laporan kehadiran individu positif Covid-19 seperti menjalankan aktiviti sanitasi, pengasingan kontak rapat dengan pesakit tersebut dan melaksanakan ujian Covid-19 ke atas para petugas.

Berikutan itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memberitahu, setiap PPV diarahkan untuk membuat pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk agar tiada individu berstatus risiko tertentu dibenarkan masuk.

Mengenai dakwaan terdapat suntikan vaksin yang telah melepasi tarikh luput, Khairy berkata, siasatan awal mendapati dakwaan itu tidak benar.

“Secara ringkasnya, tarikh luput vaksin dos kedua yang diberi dan tertera di MySejahtera individu tersebut sebenarnya merupakan tarikh luput vaksin yang telah diberikan untuk dos pertama.

“Fakta ini disokong oleh beberapa dokumen yang telah diperiksa. Kesilapan merekodkan data telah menyebabkan perkara ini berlaku dan tarikh luput vaksin yang sebenar akan dikemas kini ke dalam MySejahtera bagi individu yang terlibat,” katanya. -MalaysiaGazette