Orang awam yang disyaki positif Covid-19 beratur panjang bagi melakukan penilaian kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Stadium Malawati Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 12 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menjangkakan kes harian COVID-19 di negara ini bakal melebihi 10,000 dalam masa terdekat.

Jelasnya, peningkatan itu adalah selari dengan saringan besar-besaran dan bersasar di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, analisis juga mendapati bahawa keadaan jangkitan di Malaysia hanya akan berubah baik selepas dua minggu.

“Paling lama empat minggu diperlukan (untuk berubah baik),” katanya kepada Oriental Online.

Hujahnya, angka dijangka kekal tinggi pada dua minggu akan datang dengan saringan yang dipergiatkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kami mungkin melihat kes harian melebihi 10,000 dan ini merupakan anggaran yang munasabah,” katanya.

Menurutnya, jangka masa pemulihan bergantung kepada tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh rakyat dan juga pelaksanaan usaha kenal pasti, ujian, kesan, kuarantin dan sokongan atau FTTIS.

“FTTIS bertujuan mengelakkan penularan dalam kluster dan mengelakkan pesakit generasi keempat atau kelima dalam satu-satu kluster,  selain mengelak ia merebak ke kawasan lain,” katanya.

Malaysia mencatatkan 9,105 kes baharu pada Ahad dengan Selangor menyumbang 4,682 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 1,274 kes. – MalaysiaGazette