1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mempunyai kuasa melakukan pendakwaan dalam kes rasuah yang sedang dihadapi oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Sri Ram hari ini mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi tentang surat pelantikan beliau sebagai Timbalan Pendakwa dalam kes rasuah projek hibrid solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau berkata demikian pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan bahawa bantahan awal pasukan pembelaan Rosmah yang mengemukakan permohonan membantah pelantikannya untuk mengendalikan kes tersebut.

Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa surat pelantikan baharu bertarikh 21 Mei lalu dan telah ditandatangani oleh Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Jelasnya, surat yang berkuatkuasa mulai 30 Ogos 2018 itu memberikannya kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap kes rasuah solar membabitkan Rosmah.

Sri Ram merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan rasuah terhadap Rosmah, yang mana pada 18 Februari lalu diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri.

Pembelaan sebelum ini mendakwa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya bagi mengendalikan kes rasuah berkaitan projek hibrid solar sekolah luar bandar di Sarawak adalah tidak sah dan terbatal.

Rosmah telah memfailkan permohonan selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram setelah pendakwaan bersetuju menyerahkan salinan itu kepada pembelaan.

Pada 19 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan Rosmah untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Sebelum ini, mahkamah memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai bagi mendengar keterangan beliau dan saksi pembelaan yang lain. -MalaysiaGazette