Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPRUR – Satu video berdurasi 15 minit dipercayai ucapan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tular hari ini.

Dalam video itu, Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, UMNO telah mengambil langkah yang salah apabila mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Malah perancangan untuk mengadakan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga satu kesilapan.

“Banyak keputusan yang kita buat yang lepas semuanya silap. Masuk PN (Perikatan Nasional), silap. Muafakat Nasional (MN) kita tubuhkan, kita tak jaga baik-baik, silap.

“Kita nak bekerjasama dengan Anwar pun silap, ‘so many things’ silap,” kata Tajuddin dalam video berkenaan.

Video itu tular hari ini selepas UMNO mengadakan mesyuatat MKT pada 7 Julai lalu.

MKT UMNO mengambil pendekatan untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tajuddin dipercayai tidak mengundi untuk membuat keputusan itu.

Video itu turut disahkan bekas Setiausaha UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau dalam Facebooknya memuatnaik video itu dengan kapsyen ‘Tajuddin Rahman’.

Tajuddin dalam video itu dengan nada tidak gembira bertanyakan MKT bahawa adakah dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, kerajaan PN akan tumbang.

“Kalau kita tarik diri sekarang (7 Julai) adakah anda semua rasa kerajaan akan tumbang, mereka boleh kerjasama dengan DAP untuk mencapai persefahaman.

“DAP akan sokong tanpa perlu tubuh kerajaan dan mereka akan beri sokongan mereka, ia untuk memastikan Muhyiddin tetap menjadi Perdana Menteri.

“Apa akan jadi kepada UMNO? Kita akan ‘mati’ lah,” katanya dalam nada yang tegas.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, UMNO masih lagi tidak bersedia untuk menerima kehadiran Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kerana jentera parti masih tidak bersedia.

“Kita kata nak jaga parti tapi kerja tak buat, I am telling you, I don’t want to mention name. Yang menag tipis pun, saya tak nak sebut sebab nak jaga air muka kawan-kawan.

“Kita tidak sedia untuk PRU15, kita mendesak untuk mengadakan PRU, adakah kita bersedia? Jentera kita, wanita dan bersedia ke? Nak buat kerja pun tidak ada fulus (peruntukan),” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin sempat menasihatkan para MKT untuk membuat keputusan yang bijak terhadap UMNO.

“Memang MKT ini ada 40 hingga 50 orang tapi fikir baik-baik, jangan keputusan kita nanti memunculkan kehancuran kepada UMNO.

“Saya harap itu tidak terjadi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. perjuangan UMNO 1946 YANG IKHLAS demi Agama bangsa dan tanahair berkubur setelah diHARAMKAN 1988…maka jadilah carca marba wujudlah UMNO BARU dan UMNO LAMA/TEAM A team B

Comments are closed.