Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Sarawak akan melalui peralihan fasa daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berkuatkuasa 14 Julai ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, peralihan itu dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) meneliti nilai-nilai ambang atau threshold di negeri berkenaan.

Oleh itu, katanya, dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusi Perdana Menteri, bersetuju untuk membuat peralihan itu berdasarkan pencapaian nilai ambang tiga indikator utama yang telah ditetapkan.

“Peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Sarawak ini akan berkuatkuasa mulai 14 Julai ini.

“Maklumat lanjut mengenai semua kebenaran yang telah ditetapkan bagi fasa 2 boleh dirujuk di laman sesawang MKN di www.mkn.gov.my,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau turut berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri telah menampakkan impak positif.

Sehubungan itu, negeri seperti Terengganu, Kelantan, Pahang, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Sabah kini telah berjaya melangkah dari fasa 1 ke fasa 2.

“Sidang khas MKN hari ini telah meneliti pembentangan peralihan fasa bagi negeri-negeri ini di bawah PPN oleh Kementerian Kewangan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memberi kebenaran kepada semua outlet pusat perkhidmatan pelanggan syarikat telekomunikasi untuk beroperasi sepanjang PPN mulai esok.

Kata beliau, outlet itu adalah yang terletak dalam pusat membeli-belah serta pasar raya besar.

Mengenai penguatkuasaan di kilang dan premis perniagaan, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah mempertingkatkan dari segi pemeriksaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan dan SOP yang telah diwartakan.

Semalam, menurut beliau, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 78,975 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,477 orang.

“Ini termasuk pemeriksaan ke atas 2,087 buah kilang, 16,086 premis perniagaan, 625 tapak pembinaan dan 449 buah asrama penempatan pekerja.

“Hasil daripada pemeriksaan tersebut, sebanyak 17 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast