SHAH ALAM – Ketika negeri lain beralih ke Fasa 2 Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan membenarkan lebih ramai jemaah solat di masjid – Selangor merupakan satu-satunya negeri yang masih tidak menikmati kelonggaran itu.
Salah satu sebab negeri itu tidak dibenarkan solat Jumaat dan solat fardhu tidak lebih 150 jemaah kerana statusnya masih mencatatkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi.
Semalam lebih 4,000 kes dicatatkan di Selangor.
Tinjauan MalaysiaGazette hari ini mendapati rata-rata orang ramai mengeluh kerana sekatan itu masih berlaku di Selangor sedangkan banyak sektor lain menjadi penyumbang kes positif Covid-19 beroperasi seperti biasa.
Salah seorang daripadanya, Mohammad Faizan Mohammad Yahaya, 32, yang melahirkan rasa kesalnya kerana masjid dan surau masih tidak dibuka kepada orang ramai walaupun boleh dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Masjid di Selangor masih lagi ditutup hampir setahun, saya tak pernah lagi dalam seumur hidup saya tinggalkan solat Jumaat selama setahun lebih.
“Biasanya ahli jawatankuasa masjid sahaja yang dibenar solat, tapi bagi orang awam macam saya ini nak singgah (solat) pun tak boleh.
“Kita terpaksa pergi ke stesen minyak, saya rasa sangat dukacita dengan keadaan sekarang ini, sampai Solat Jumaat pun tak buat,” katanya.
Mohammad Faizan juga seorang penghantar makanan berkata, masjid merupakan satu kemudahan awam dan perlu dibuka secepat mungkin walaupun jemaah disyaratkan mematuhi SOP untuk mengelak penularan Covid-19 dalam tempat ibadah itu.
“Majoriti di Selangor ini orang Islam, jadi kalau orang macam saya rider nak singgah untuk solat fardhu agak mencabar susah untuk kita.
“Saya mohon Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) buka balik masjid ini, kita hanya ikut SOP sedia ada, tak ada masalah pun sebenarnya, tak perlu sampai tahap menutup masjid.
“Kalau ikut dalam agama kalau tiga kali berturut-turut masuk dalam golongan munafik,” katanya.
“Bila perkara ini masih berterusan sampai pihak kerajaan tak ambil apa-apa tindakan untuk membuatkan rakyat Selangor boleh datang solat, tunaikan kewajipan solat Jumaat, ini paling penting,” katanya.
Bagi seorang peniaga buah, Mahyudin Adnan, 48, lazimnya dia akan membuka gerainya berdekatan dengan surau atau masjid bagi memudahkannya menunaikan solat.
“Selalunya saya akan parking gerai dekat dengan surau, senang saya nak solat, sekarang ini walaupun berniaga tepi surau pun tak dapat nak masuk solat, sampai terpaksa solat di rumah.
“Memang rasa terkilan, solat Jumaat lagi laa berapa lama, sebelum PKPD pun tak dapat juga, bila lagi ketat langsung tak solat Jumaat, cuma AJK masjid sajalah, itu pun berapa orang sahaja,” katanya.
Mahyudin tidak menafikan apabila hanya masjid dan surau sahaja ditutup seolah-olah berlaku ketidakadilan sedangkan sektor ekonomi lain yang menjadi kluster pandemik dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Kita pun mohon syarat itu dilonggar untuk boleh solat Jumaat tapi ikut SOP lah macam bawa sejadah sendiri, jaga penjarakan fizikal, kalau macam tu dapatlah juga kita solat Jumaat.
“Rasa macam tak adil perkilangan dan sektor industri boleh dibuka tapi untuk agama dan ibadah sepatutnya kena jaga juga. Mohon kerajaan kaji balik buka surau dan jumaat untuk solat Jumaat,” katanya.
Sementara itu, Rezeki Dinar, 38, tidak menolak kemungkinan apabila masjid terus ditutup dan orang ramai jauh daripada tempat ibadah itu.
Dia bimbang semakin ramai melupakan ibadat apatah lagi berdoa agar pandemik berakhir.
“Minta Kerajaan Negeri Selangor kaji balik perkara ini supaya masjid dan surau dibuka semula, sebab Allah itu sebaik-baik penolong, bukan orang, bukan makhluk tapi Allah adalah sebaik-baiknya.
“Bila tutup masjid, maka berkuranglah rezeki itu sebab rezeki ini datang daripada Allah, bila kita kurang pergi ke rumah Allah, kurang jugalah rezeki itu, rezeki itu yang bagi bukan orang, bukan makhluk, Allah Taala yang bagi.
“Bila kita tak pergi rumah Allah Taala, tak ingat Allah, memang kuranglah rezeki itu masuk, Nabi Muhammad SAW ada sebut, nak murah rezeki kena dekat dengan solat dan sedekah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: