Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 38 tahun dan adik perempuannya berusia 23 tahun, cedera selepas ditikam bapa saudara mereka yang dipercayai gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah, dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Melati dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Anuar Abdul Rahman @ Abdul Rahim berkata, suspek yang berusia 61 tahun dipercayai turut melanggar prosedur operasi standard (SOP) merentas daerah untuk pergi ke rumah kakaknya yang berusia 63 tahun itu.

“Pada 1 tengah hari semalam, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan mengenai pergaduhan di rumah terbabit. Suspek dikatakan datang ke rumah kakaknya untuk meminta wang bagi membeli dadah dan pertengkaran berlaku antara mereka selepas kakaknya itu enggan memberikan wang.

“Anak lelaki dan anak perempuan kakaknya cuba meleraikan pergaduhan tersebut namun suspek bertindak mengeluarkan pisau, dipercayai dibawa dari rumah dan disembunyikan di belakang badannya lalu menikam perut anak lelaki dan tangan kiri anak perempuan kakaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya melarikan diri keluar dari rumah kakaknya itu selepas melihat darah yang mengalir daripada kedua-dua mangsa.

Anuar berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk rawatan.

Menurutnya, suspek yang memiliki lima rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah berjaya dikesan di sebuah rumah di Felda Sungai Tiang, Pendang, tiga jam selepas polis menerima laporan kejadian itu.

“Serbuan yang dijalankan di rumah tersebut pada 4.50 petang semalam berjaya menahan suspek dan merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kedua-dua mangsa.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek juga disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam tubuh serta Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021 kerana merentas daerah tanpa kebenaran polis. – Bernama