Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan ketika Op Patuh PDRM di Kondominium D'Alamanda, Kuala Lumpur.Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 JULAI 2021

KUALA LUMPUR – Polis sedang menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut dalam siasatan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kertas siasatan yang telah dilengkapkan polis Kelantan diserahkan kepada pihaknya sebelum dirujuk kepada DPP pada minggu lalu setelah keterangan diambil daripada Ahli Parlimen Jeli itu.

“Kita sedang menunggu arahan keputusan daripada DPP untuk tindakan lanjut polis,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar SOP: Tok Pa selesai dirakam keterangan – Bukit Aman

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Pada 6 Julai lalu, Abd Jalil mengesahkan polis selesai merakam keterangan daripada Mustapa bagi membantu melengkapkan kertas siasatan.

Turut dipanggil untuk dirakam keterangan ialah pemilik cafe dan juga dua orang pegawai Mustapa yang bersamanya semasa kejadian itu.

Baru-baru ini, gambar menteri itu bersama beberapa individu sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Jeli tular dalam media sosial.

Mustapa mengaku berada di restoran Alfath Café, Kampung Kalai, Jeli pada 26 Jun lalu dan memohon maaf atas perlanggaran SOP dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan sewajarnya.-MalaysiaGazette