KUALA LUMPUR – Perbicaraan Lim Guan Eng supaya kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang bermula dengan agak dramatik hari ini.
Kes itu yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azura Alwi berlangsung dalam keadaan sedikit tegang apabila peguam mewakili Guan Eng, Gobind Singh Deo bangkit beberapa kali ketika prosiding.
Beliau kelihatan tidak senang dengan soalan-soalan yang dilontarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada saksi pendakwaan pertama, Datuk Seri Geethanjali Gausilia hari ini.
Wan Shaharuddin secara terperinci bertanya mengenai beberapa keping gambar tertuduh dengan saksi dan suami serta ibu saksi di kediamaan mereka di Petaling Jaya.
Gobind seperti hilang sabar apabila Wan Shaharuddin bertanya soalan seperti adakah Guan Eng memakai stoking atau kasut dalam rumah saksi atau sebaliknya.
Soal Gobind mengapakah terlampau banyak soalan yang langsung tidak relevan seperti ada memakai kasut dan stoking.
Gobind: Mengapa macam drama sangat? Adakah soalan-soalan tentang gambar ini relevan Yang Arif?
Hakim: Saya juga tidak tahu tapi kita biarkan dulu soalan-soalan itu dijawab.
Wan Shaharuddin: Saya sambung, saya hendak tanya saksi siapakah individu-individu dalam gambar-gambar ini?
Geetanjali: Dalam gambar ini ada Lim Guan Eng, suami saya, diri saya dan juga ibu saya.
Wan Shaharuddin: Adakah Guan Eng pakai kasut atau stoking dalam rumah?
Gobind bangkit bangun dan bertanya lagi.
Gobind: Tolonglah, ada had apa yang pendakwaan buat. Ini adalah satu kes yang sungguh serius, ini bukan main-main.
Apa ini? Tunjuk stoking, ada pakai kasut semua ini soalan apa? Apa keperluannya? Pendakwaan tahu atau tidak undang-undang, adakah anda tahu tentang basic rules atau mahu saya sekolahkannya?
Bagaimanapun hakim membenarkan pendakwaan sambung menyoal saksi yang kemudian turut membuat beberapa pengecaman termasuklah Guan Eng di kandang tertuduh kemudian mengecam suami Geethanjali, Datuk Datuk Seri Gnanaraja M. Gnanasundram serta ibunya, Maharani.
Ketika sesi pemeriksaan balas, Gobind bertanya kepada Geethanjali yang juga seorang pelakon serta ahli perniagaan adakah satu kebiasaan untuk ahli politik berkunjung ke rumahnya dan mengambil gambar bersama-sama.
Geethanjali bagaimanapun sedikit teragak-agak untuk menjawab persoalan itu dengan mendedahkan sebarang perjumpaan dengan ahli politik hanya di pejabat sahaja.
Gobind: Biasa jumpa ahli politik dan gambar diambil?
Geetha: Tidak sangat.
Gobind: Ada atau tidak?
Geetha: Tidak.
Gobind: Jadi tidak adalah ahli politik ke rumah kamu?
Geetha: Ya, tidak sangat.
Gobind: Saya tanya ada tidak. Itu sahaja.
Geetha: Ada juga.
Gobind: Itu sahaja saya hendak tahu.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu. -MalaysiaGazette