KUALA LUMPUR – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencatatkan jumlah tertinggi penerima vaksin semalam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, jumlah direkodkan itu sebanyak 421,479 dos dan merupakan sejarah baharu yang pernah diberikan dalam sehari sepanjang PICK yang dikendalikan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Untuk rekod, jumlah tertinggi untuk pemberian suntikan vaksin Covid-19 dalam sehari adalah 376,909 dos iaitu 9 Julai lalu.
“Data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pula mencatatkan 11,788,189 dos jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos 1 dan 2 di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Kata beliau, bagi yang belum mendaftar mendapatkan vaksin, kerajaan menyeru supaya tampil dan mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera, laman sesawang vaksincovid.gov.my atau di talian hotline 1-800-88-8828.
Selain itu, katanya, pendaftaran secara manual juga telah diperkenalkan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
Mengenai SOP Covid-19 di sektor perkilangan dan premis perniagaan, Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan telah mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis berkenaan.
“Ini kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang telah diwartakan.
“Semalam Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 90,214 pemeriksaan dan snap check COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 19,245 orang.
“Ia termasuk pemeriksaan ke atas 2,285 kilang, 16,822 premis perniagaan, 1,015 tapak pembinaan dan 456 asrama penempatan pekerja,” katanya.
Katanya, hasil daripada pemeriksaan tersebut sebanyak 67 premis meliputi kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan. – MalaysiaGazettes