Pasangan suami isteri antara penerima kunjungan dan bantuan oleh PDRM dalam Op Bantu.

KUANTAN – Walaupun tanggungjawab hakiki polis menjaga ketenteraman dan melindungi keselamatan masyarakat, namun di sebalik uniform sang saka biru ini mereka juga turun padang menggalas peranan kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dalam Op Bantu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, Op Bantu memasuki fasa kedua kini sudah mendekati 47 keluarga yang terkesan akibat Covid-19.

“Ini tentang sifat kemanusiaan, pihak polis bukan membuat penguatkuasaan, tetapi turut bertanggungjawab menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan,” katanya.

Pada fasa pertama bermula 7 Julai lalu, Op Bantu berkolaborasi dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijayakan bersama Amanita terdiri anggota polis wanita, dan Pertubuhan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dalam pada itu, penerima bantuan Nur Haslida Daud, 44, ibu kepada tiga cahaya mata itu menzahirkan rasa kesyukuran atas sumbangan yang diterima.

Wanita ini terharu apabila polis datang sendiri menghantarkan barang keperluan dapur kepadanya.

”Semalam pihak polis ada datang menziarah bertanya khabar, hari ini datang hantar bantuan.

”Terima pihak polis bersusah payah datang menghantar sendiri barang, benarlah polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast