KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan penamatan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi dua lokaliti di Kuala Lumpur mulai esok, iaitu PPR Pantai Ria dan Taman Bukit Angkasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan itu dipersetujui selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kes positif di lokaliti itu menunjukkan penurunan.
Beliau berkata, turut ditamatkan PKPD mulai esok ialah Kampung Kubang Jela, Manir, Kuala Terengganu; Kampung Balung Cocos, Tawau, Sabah; dan Taman Merbau Utama, Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh dan Kampung Jaya Baru, Kunak, Sabah tamat hari ini.
“Semua lokaliti itu diletakkan dalam penguatkuasaan PKPD sejak 1 Julai lalu dan tamat mengikut jadual selama dua minggu iaitu 14 Julai 2021,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Sementara itu, Ismail turut mengumumkan beberapa lokaliti yang akan dilaksanakan PKPD mulai 15 Julai ini.
Lokaliti itu ialah PPR Lintas Sibuga, Sandakan; Kampung Telaga dan Kampung Pituru, Pitas, Sabah; dan Felda Jengka 8, Jerantut, Pahang yang berkuaskuasa selama dua minggu hingga 28 Julai ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyatakan, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis menahan seramai 416 individu kerana melakukan kesalahan ingkar SOP PKP.
Katanya, daripada jumlah itu, 372 dikenakan kompaun, manakala 44 lagi direman atas kesalahan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis, tiada penjarakan fizikal, gagal mendaftar masuk premis, tidak patuh arahan kawalan pergerakan.
“Kesalahan juga direkodkan atas kesalahan membawa penumpang berlebihan, tidak memakai pelitup muka, premis gagal mematuhi arahan dan lain-lain kesalahan berkaitan pelanggaran SOP PKP,” katanya.
Bagi Operasi Benteng, kata beliau, semalam pasukan keselamatan telah menangkap 47 pendatang tanpa izin dan merampas empat kenderaan darat.
Dalam operasi itu, sebuah bot atau kapal dan sebuah kenderaan darat turut dikesan di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan. – Malaysia Gazette