KUALA LUMPUR – Mana-mana individu mahupun badan bukan kerajaan (NGO) yang terkesan dengan pandemik Covid-19 kini boleh menarik nafas lega apabila semakin banyak pihak termasuk syarikat swasta bermurah hati untuk membantu rakyat yang terputus bekalan makanan.
Salah satu daripadanya adalah AHL HKM Worldwide Empire yang sedia untuk membantu bukan sahaja Pejabat Khidmat Parlimen Batu bahkan sesiapa sahaja yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di sini dan Selangor.
Pengarah Urusannya, Mohammad Alif Hakim berkata, ketika negara sedang menangani pandemik Covid-19, sepatutnya syarikat swasta tidak harus mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya menjadikan ia sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Apa yang kita boleh bantu, saya akan bantu dan apa yang tak boleh bantu, kita akan terus terang. Pada masa sekarang kita tak boleh kira keuntungan atau kerugian.
“Kita cuma boleh menolong orang yang memerlukan untuk selesaikan masalah mereka (hilang pendapatan),” katanya pada sidang media di pejabatnya, di Bandar Baru Sentul, hari ini.
Terdahulu Mohammad Alif menyerahkan 200 kotak barang keperluan asas atau bakul makanan kepada Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran dan Timbalan Presiden Pertubuhan Generasi Gabungan Aspirasi Rakyat (GEGAR), Fitri Kamal bagi membantu golonan B40 dan penduduk yang terjejas akibat Covid-19.
Dalam pada itu, Mohammad Alif setakat ini telah menyerahkan bantuan peribadi kepada lebih 1,000 keluarga di Lembah Klang sepanjang PKP 3.0 baru-baru ini.
“Kita sudah serahkan barang keperluan ini kepada pelbagai NGO dan secara peribadi pun saya ada serahkan juga hampir 1,000 set di sekitar Lembah Klang.
“Kalau kita dapat apa-apa cadangan daripada orang yang memerlukan kawasan lain pun kita boleh salurkan terus kepada mereka, tiada masalah, barang asas macam ini,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sedia menerima permohonan dan permintaan daripada mana-mana pihak yang memerlukan barang keperluan dan sebagainya dengan menghubungi terus melalui emel [email protected].
“Kalau NGO dan individu yang memerlukan bantuan boleh e-mel kepada kita [email protected], Insya-Allah kakitangan saya akan jawab.
“Malah kita akan lanjutkan pemberian ini kepada Parlimen dan semua yang memerlukan boleh ajukan permohonan kepada syarikat kita kalau memerlukan bantuan dari segi barangan atau apa saja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette