Mohd Zai Mustafa
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru semua pihak termasuk NGO dan pemimpin masyarakat untuk terus memberi kerjasama kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ini, menurut Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa, bagi memastikan program itu mencapai sasaran imunisasi kelompok dengan segera untuk meletakkan Malaysia dalam keadaan yang selamat.

Kadar purata vaksinasi Covid-19 harian di negara ini dilaporkan kedua terbaik selepas Singapura dalam kalangan sembilan negara yang tersenarai.

“Ini dinyatakan dalam laporan Our World in Data yang dikelolakan oleh Oxford Martin School, Universiti of Oxford dan GCDL mengenai kadar purata vaksinasi Covid-19.

“Berdasarkan data ini, setakat 9 Julai lalu, Malaysia merekodkan 0.96 bagi setiap 100 orang di bawah Singapura iaitu 1.3 dan di atas daripada Taiwan dengan 0.65.

“Negara kita juga merekodkan purata pemberian vaksin ketiga tertinggi di dunia dengan 309,694 dos selepas Indonesia dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mengesahkan sebanyak 324,745 dos suntikan vaksin diberikan pada 10 Julai lalu.

Menjadikan jumlah keseluruhan dos vaksin dalam negara sebanyak 11,075,493 dos dengan anggaran satu juta dos suntikan dalam masa tiga hari

Kata Mohd Zai, dengan kerancakan program vasinasi ini, Malaysia dijangka mengambil masa tiga bulan bagi mencapai 90 peratus keseluruhan rakyat diberikan suntikan vaksin.

“Jika ini dapat dicapai, Malaysia menjadi negara yang paling berjaya. Bagaimanapun, ada pihak tertentu membuat tohmahan dan propaganda Malaysia gagal dalam memberikan vaksin kepada rakyat,” katanya.

Tetapi, tegas beliau, data dan fakta menunjukkan keadaan sebaliknya di mana Malaysia sedang berada di landasan yang tepat, jelas dan meyakinkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast