Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR – Seramai 70 individu yang berperanan sebagai bookie bola sepak  dalam pertaruhan Kejohanan Bola Sepak Piala Euro 2020 diberkas polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan mereka juga melibatkan wang pertaruhan bernilai RM44.29 juta itu dilumpuhkan menerusi Op Soga VIII yang dilaksanakan bermula 12 Jun hingga 12 Julai lalu.

Dalam tangkapan itu, polis juga merampas sejumlah wang tunai milik sindiket hasil pertaruhan iaitu berjumlah RM42,535.

“Kesemua individu berkenaan berusia antara 17 hingga 65 tahun yang terdiri daripada 69 lelaki dan seorang wanita tempatan.

“Kesemua mereka ditahan dalam 54 serbuan yang dilaksanakan dalam dua fasa di seluruh neger Johor ini, ” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat beliau di Johor Bahru hari ini.

Tambah Ayob, kesemua individu itu kini direman antara dua hingga empat hari untuk membantu siasatan polis di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

Ujar Ayob Khan, daripada 54 serbuan itu, sebanyak 14 serbuan dilaksanakan menerusi fasa kedua Op Soga Euro 2020 dari 27 Jun hingga 12 Julai lalu.

“Hasil fasa kedua serbuan itu, seramai 19 individu tempatan ditahan membabitkan wang pertaruhan bernilai RM24 juta beserta laptop dan telefon bimbit turut dirampas.

“Kejayaan ini menyusul hasil risikan oleh polis Johor dan aduan yang disalurkan orang awam. Kebanyakan daripada mereka di tangkap di rumah mereka dan juga di premis,” ujarnya.- MalaysiaGazette