Gelagat banduan di dalam sel penjara pada Perintah Kawalan Pergerakan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Penjara Kajang, Kajang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 19 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Semua perjumpaan keluarga bersama penghuni sempena sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 2021 di semua penjara adalah tidak dibenarkan sebagai langkah mencegah penularan Covid-19.

Bagi tujuan penggantian kepada perjumpaan tersebut, Jabatan Penjara membenarkan dan memberikan keutamaan penggunaan sidang video melalui e-mel Jabatan (Icewarp) bermula pada 21 Julai 2021 sehingga 25 Julai 2021 (5 hari).

Penggunaan kaedah tersebut (Icewarp) hanya dibenarkan kepada keluarga yang membuat tempahan dan hanya satu panggilan sahaja dibenarkan untuk memberi peluang kepada penghuni yang lain.

Tempahan boleh dibuat mulai hari ini melalui dua kaedah iaitu panggilan telefon di penjara berkenaan dan e-mel atau surat ke penjara berkenaan.

Penjara-penjara berkaitan akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa bergantung kepada situasi semasa penjara berkenaan.

Selain itu, penghuni juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu. – MalaysiaGazette