Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan orang Melayu sudah berpecah dan kini hilang kuasa kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya umum akan ditentukan oleh kaum lain.

Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, ia dapat dilihat apabila pemimpin Melayu bertanding sesama mereka di kawasan majoriti kaum itu sehingga menyebabkan undi  berpecah.

Akhirnya, jelas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu, kaum lain terutama Cina akan menjadi penentu kemenangan parti Melayu pada PRU.

“Dalam PRU, orang Melayu akan bertanding di kawasan Melayu walaupun UMNO pernah meletak calon dari MCA. Biasanya tiga parti akan bertanding seperti UMNO dan Pas.

“Namun yang menentu kemenangan bukan orang Melayu. Macam contoh saya bertanding pada 1969 dan kawasan itu ada 35,000 pengundi.

“Saya bertanding berlawan dengan calon Pas, sepatutnya saya menang dan orang Melayu sokong saya. Tapi undi bahagi dua dan menentukan saya dan siapa menang adalah orang Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan selebriti, Harith Iskander dalam program What’s Going On Malaysia? With Harith Iskandar secara langsung di Youtube malam ini.

Beliau diminta memberi penjelasan mengenai kenyataan baru-baru ini bahawa Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) merupakan parti orang Melayu dan bumiputera yang ikhlas ditubuhkan untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Ini kerana jelas beliau, ketika ini orang Melayu sudah berpecah dan hilang kuasa gara-gara memiliki sikap tamak. – MalaysiaGazette