Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan terma-terma dalam perjanjian pelupusan sebahagian pinjaman peneroka Felda bagi mengelak wujudnya ketidakadilan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, terma perjanjian yang tidak munasabah dan kuasa tawar-menawar yang tidak adil boleh menyebabkan perjanjian tersebut batal di sisi undang-undang.

“Peneroka adalah pihak yang bergantung kepada Felda dan tawaran penghapusan hutang meletakkan peneroka dalam keadaan berat sebelah.

“Maka, terma-terma yang jelas perlu dinyatakan di dalam perjanjian tersebut supaya lebih telus dan adil kepada kedua-dua pihak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhammad Faiz menegaskan, oleh kerana Felda adalah sebuah badan berstatutori yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956, maka ia adalah sebuah entiti berkepentingan awam.

Bukan sahaja peneroka berhak tahu terma-terma penuh dan jelas perjanjian tersebut, malahan, rakyat juga perlu diberikan maklum supaya ketelusan dan akauntabiliti dalam tatakelola pemerintahan kerajaan dilaksanakan.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju untuk melupuskan sebahagian pinjaman peneroka berjumlah RM8.3 bilion melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat bagi generasi.

Menurutnya, pelupusan bersyarat merangkumi pelarasan sebahagian baki pinjaman tanam semula sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM8.0 bilion yang memberi manfaat kepada 92,441 peneroka daripada 112,638 orang.

Jelasnya, pelarasan sebahagian baki tunggakan pinjaman baja sehingga 31 Disember 2019 berjumlah RM168 juta melibatkan 52,180 peneroka atau 46 peratus warga peneroka. – MalaysiaGazette

Kerajaan setuju lupus sebahagian pinjaman peneroka bernilai RM8.3 bilion