Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengatakan sesuatu kepada pekerja semasa mengadakan Operasi Pematuhan SOP Covid-19 di IdoÕS Clinic, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2021.

PETALING JAYA – Tindakan berani sebuah klinik rawatan kecantikan swasta di Persiaran Surian, Damansara yang beroperasi tanpa kebenaran menerima akibatnya apabila dikeluarkan notis arahan tutup premis serta-merta hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, premis kecantikan itu antara 21 premis kilang sektor makanan dan pembuatan yang telah diperiksa dalam operasi bersepadu hari ini.

Hasil pemeriksaan, polis mengeluarkan sebanyak tujuh kompaun berjumlah RM90,000 terhadap beberapa kilang makanan selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Hasil serbuan dilakukan, polis mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua majikan serta seorang pekerja di kilang makanan kerana tidak patuh SOP manakala tiga lagi kompaun dikeluarkan KKM terhadap majikan kerana tidak mengisytharkan tahap kesihatan pekerja serta satu kompaun dikeluarkan MBPJ,” katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di Persiaran Surian, Bandar Utama, Damansara Perdana hari ini.

Kakitangan pekerja semasa Operasi Pematuhan SOP Covid-19 di Kilang Industri Syed Food, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2021.

Tambah Mohamad Fakhrudin, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tidak mengimbas aplikasi MySejatera atau catitan buku rekod kehadiran, tidak mengimbas suhu di premis, premis beroperasi bukan sektor yang dibenarkan, premis tidak mempunyai lesen perniagaan serta gagal melaksanakan saringan bergejala kesihatan kepada pekerja.

Menurut beliau, sebuah kilang makanan pula turut diarahkan tutup selepas pemeriksaan dilakukan mendapati premis berkenaan berada dalam keadaan kotor selain najis tikus tikus ditemui pihak berkuasa kesihatan.

“Kami akan melakukan siasatan terperinci bagi mengetahui sudah berapa lama pusat rawatan kecantikan berkenaan beroperasi sepanjang tempoh PKPD ini untuk tindakan sewajarnya kerana kalau ikutkan SOP ia bukan perkhidmatan perlu.

Anggota polis melakukan pemeriksaan imbasan kod MySejahtera kakitangan pekerja semasa Operasi Pematuhan SOP Covid-19 di Kilang Inside Scoop, Subang Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2021.

“Pusat itu bukan perkhidmatan penting dan sekiranya premis itu mahu beroperasi, pemilik pussat kecantikan itu mestilah memohon kebenaran daripada KKM selaku pihak berwajib.

“Mana-mana pemilik premis serta majikan perlu memahami SOP ditetapkan pihak berkuasa dan mematuhi peraturan berkenaan sepanjang tempoh PKPD.

“Perlaksanaan PKPD di daerah ini sudah hampir dua minggu, manakala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula sudah kita jalani hampir dua tahun dan tiada alasan tidak faham atau keliru dengan SOP dan sebagainya,” tegasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast