KUALA LUMPUR – Tiada demonstrasi dan provokasi digunakan dalam menunjukkan solidariti kepada rakyat Malaysia yang terkorban dan meninggal dunia akibat dijangkiti Covid-19 sejak Mac tahun lalu.
Itu antara jaminan yang diberikan oleh Ketua Koordinator Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor.
“Tiada demonstrasi atau provokasi dan sebagainya, ini satu usaha murni daripada kami bersama 40 NGO dari seluruh negara.
“Kita betul-betul ingin bersama dengan rakyat menyampaikan solidariti kita terhadap rakyat yang meninggal dunia akibat Covid-19, bunuh diri dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di Pintu 3, Istana Negara, hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan memorandum rakyat Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu.
Menurut Mustafa, sebagai tanda solidariti, pihaknya akan melancarkan kempen Pemulihan Malaysia pada Sabtu ini dengan berpakaian serba putih sekiranya tiada perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kita bagi masa kepada Tan Sri Muhyiddin untuk membuat keputusan sehingga 16 Julai 2021.
“Sekiranya tidak ada perubahan ataupun tidak mahu membuat satu keputusan demi rakyat, kita akan bersama rakyat mengangkat bendera putih, pakaian putih, tudung putih, kain putih, semua putih,” katanya.
Dalam pada itu, katanya usaha tersebut sebagai tindak balas kepada kes baharu Covid-19 yang mencecah 11,079 mencerminkan kegagalan kerajaan menangani wabak itu walaupun dalam tempoh darurat.
“Semalam pun dah sampai lebih 11,000 kes baharu dan semakin bertambah. Begitu juga dengan kadar bunuh diri yang sudah tidak terawal.
“Kami NGO melihat bahawa sudah sampai masanya kerajaan yang ada hari ini letak jawatan Perdana Menteri dan Kabinetnya.
“Beri laluan kepada siapa sahaja yang mempunyai majoriti di Parlimen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette