Pekerja sektor pembuatan menerima suntikan vaksin di tapak pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 28 JUN 2021.

SHAH ALAM – Susulan kes jangkitan dalam kalangan petugas di pusat pemberian vaksin di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor, timbul pula khabar angin melalui aplikasi WhatsApp bahawa keadaan sama juga berlaku di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), juga di Shah Alam.

Walau bagaimanapun, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Siow Fun Yean menafikan berita palsu itu selepas melakukan semakan dengan pihak bertanggungjawab.

Katanya, SCCC pernah menghentikan operasi vaksinasi buat sementara waktu untuk tujuan sanitasi, tetapi bukan kerana berlaku jangkitan COVID-19.

Jelasnya, pemberian vaksinasi telah diteruskan selepas kerja pembersihan selesai dijalankan.

“Saya telah menghubungi pihak yang menyediakan tempat vaksinasi dan individu berkenaan memberitahu bahawa tidak menerima laporan mengenai kes jangkitan,” katanya kepada Sinchew Daily.

Menurutnya, khabar angin juga mungkin timbul kerana ada pihak yang keliru antara IDCC dengan SCCC memandangkan kedua-dua pusat terletak di Shah Alam.

Fun Yean turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang mungkin menimbulkan kekeliruan orang ramai.

Sebelum ini, sebanyak 204 petugas pusat pemberian vaksin di IDCC telah disahkan terjangkit COVID-19, tetapi pemeriksaan mendapati daya jangkitan mereka adalah rendah berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – MalaysiaGazette