Sebanyak tiga bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggaji kru warga asing tanpa kebenaran ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang semalam.

KUANTAN – Sebanyak tiga bot nelayan tempatan Kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen dengan menggaji kru warga asing tanpa kebenaran ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang semalam.

Pengarah Maritim Pahang, Datuk Amran Daud berkata, bot nelayan tersebut ditahan pada jarak kira- kira 20 batu nautika timur Kuala Kuantan semasa rondaan Op Makmur.

“Pihak kami telah mengesan tiga bot tersebut sedang menjalankan aktiviti perikanan secara berkelompok dalam keadaan mencurigakan dan cuba melarikan diri sebaik dihampiri aset Maritim Malaysia.

Tiga bot nelayan tempatan telah ditahan dalam rondaan Op Makmur oleh Maritim Malaysia.

“Selepas berjaya ditahan, pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot nelayan tempatan tersebut dikendalikan tekong warganegara Vietnam bersama awak-awak warganegara sama dan kesemuanya seramai 21 orang berumur antara 19 sehingga 46 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut dokumen berkaitan mendapati ketiga-tiga bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat sah lesen serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Kesemua kru termasuk tekong telah ditahan dan diiring masuk ke jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Pahang bersama peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 300 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Amran, mereka didakwa di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali

Manakala bagi kesalahan Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) boleh didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Sehingga kini, Maritim Pahang merekodkan sebanyak 10 kes atas pelbagai kesalahan dan akan terus giat mengawal perairan negara mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa ketika ini.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.- MalaysiaGazette